

12 tahun…..bukan satu jangka waktu yang singkat untuk dinantikan. Namun kalau sudah ketentuannya begitu apalagi yang dapat dilakukan. Sejarah akan tinggal sebagai satu sejarah. Yang baik jadi tauladan yang buruk disempadankan.
Begitulah yang terjadi kepada kumpulan XPDC. Pelopor muzik ‘Heavy Metal’ Malaysia ini.
Demi satu perjuangan, kini mereka bergabung semula…BERSATU kepada yang asal untuk peminat-peminat ‘brutal’ mereka. IZO pemain gitar, ZUAR – bass, AMY – dram, dan MAEL sebagai penyanyi utama…inilah yang dirindui peminat mereka. Kombinasi yang ada karismanya tersendiri. Kali terakhir mereka bersama adalah pada tahun 1997, di kala penerbitan album keempat mereka, BRUTAL yang masih berbisa hingga ke saat ini.
Menyentuh tentang album terbaru XPDC, “RASOPARISO” akan memaparkan lagu-lagu baru XPDC yang berkonsepkan Fast Heavy Metal, Ballad, Moderate, dan 60’s / A go-go. Keempat-empat konsep ini adalah konsep-konsep muzik yang pernah menaikkan nama XPDC dipersada muzik tanahair.
Elemen kombinasi ini sebenarnya datangnya dari 4 album mereka sebelum ini iaitu album: Darjah Satu, Timur Barat, Kita Peng Yu, & Brutal yang digabungkan dalam album penyatuan semula mereka ini demi menyempurnakan kerinduan peminat mereka.
“RASOPARISO” juga adalah kesinambungan bagi album “ROCK UNION” yang telah diterbitkan dan dipasarkan pada tahun 2008. Album tersebut adalah terbitan bersama Life Records dan EMI Malaysia.
Antara lagu-lagu yang bakal berada di dalam album terbaru ini pula ialah:
- Rasopariso (reggae rock)
- Aku Tetap Aku (ballad)
- NtahyeNtahtidak (Moderate)
- Sana Sini Sama Saja (Heavy Metal)
- Rasa (ballad)
- Sampai Bila (Heavy Metal)
- Puing Cinta (60’s)
- Curahan Rasa (moderate ballad)
- Menentang Arus (moderate ballad)
“RASOPARISO” bermaksud budi-baik. Ianya cukup sesuai dengan tujuan gabungan dan album mereka ini yang mana tidak lain dan tidak bukan menjadi buah tangan mereka untuk industri muzik tanahair dan juga peminat-peminat XPDC sendiri. Album dan gabungan ini juga sebagai satu balasan yang diterjemahkan sebagai satu penghormatan buat Allahyarham Zul Adnan atau lebih dikenali sebagai J.S Kevin.
Individu yang menamakan kumpulan ini sebagai XPDC. Disamping menjadi penerbit eksekutif bagi kumpulan ini, Allahyarham jugalah yang banyak mengubah lagu & lirik berhantu kumpulan ini.
Album RASOPARISO yang diterbitkan oleh kumpulan XPDC sendiri dijangkakan untuk menjengah pasarannya sekitar bulan March / April 2009. Apa yang pasti, Mael, Izo, Zuar dan Amy akan bergerak semula sebagai XPDC Reunion untuk memanaskan kembali suasana industri muzik tanahair. Dijangkakan juga mereka akan membuat sebuah persembahan istimewa di atas gabungan semula dan penerbitan album terbaru ini...
XPDC - Rasopariso
Rambut samalah hitam
bila dipandang
tapi belumlah tentu
sama warnanya
di dalam tiada gambaran
di dalam penuh dugaan
Walau apa telahan
ada batasannya
biarlah berpada
kita amalkan
hati perlulah didada
syukurnya sepanjang masa
Perlulah bergandingan
sepanjang zaman
apakan yang datang
tetap bertahan
biarpun susah bertamu
akulah rakan taulanmu
Tak perlu mendabik
dadamu yang sempit
tunjuk peribadi
semakin berisi
merendah tiada tinggi
dunia pun senang hati
Larilah ke depan
mengejar impian
hitam yang semalam
jadikan sempadan
Kita kan orang harapan
tak lekang hulurkan salam
Rasopariso dalam hati
Rasopariso tiada henti...
Tags: XPDC Reunion Rasopariso